Friday, February 13, 2009

Siapakah Aku?

Siapakah diriku? Sebahagian kisah hidupku ada tergarap di dada novel dan begitulah juga dilemma serta konflik yang kadang-kadang sering muncul di dalam jiwa. Tentang Dhiya (Syud - Jemari Seni) hampir tepat menggambarkan senario persahabatan aku semasa di Universiti manakala 5 Tahun 5 Bulan (Hlovate - Jamari Seni) pula menggambarkan konflik yang sering meruntun jiwa ini. Adakah penyelesaian serta arahan arus hidup ini akan terjadi sama seperti yang tergarap di dada novel-novel tadi? Atau mampukah aku menjadikannya sebagai suatu panduan dalam menyusun atur kehidupan ini?

Atau haruskah aku meletakkan garapan tinta penulis itu sebagai suatu cermin ajaib yang mampu menggambarkan siapakah diriku ini? Apakah hala tuju hidupku? Apakah cabaran-cabaran yang bakal aku tempuhi memandangkan aku sendiri tiada klu bagi semua soalan-soalan ini.

Malam tadi dengan panjang lebar aku meluahkan kepada rummet mengenai dilemma diri ini. Aku tidak mampu untuk mengklasifikasikan sifat diri ini dengan sebetulnya. Di mata orang aku seorang yang tegas, berani dan begitu berkeyakinan tinggi namun hakikatnya hanya Allah yang tahu betapa tidak yakinnya aku, betapa gerun dan takut untuk aku membuat setiap satu langkah dalam hidup ini. Aku bimbang jatuh, aku bimbang terluka dan aku juga bimbang seandainya aku tidak mampu mengembirakan hati insan-insan tersayang yang ternyata menyandarkan harapan yang tinggi pada diri ini. Bagaimana kalau suatu hari nanti aku gagal untuk menjadi yang terbaik buat mereka? Adakah akan muncul satu hari di mana aku akan mengecewakan hati-hati mereka? Ini semua sering bermain-main di benak dan di jiwa.

Namun, dalam ketidaksedaran aku menghayunkan langkah, aku kini berada di suatu tempat yang tidak pernah aku jangka. Dalam diri galak menyatakan aku takut ini, aku tidak mampu melakukan itu, semua ini adalah nothing dan sia-sia, satu-satu pencapaian yang aku miliki. Satu-satu sejarah indah aku ukir di kanvas perjalanan hidupku? Bagaimana ini semua berlaku? Entah... Aku tiada jawapan bagi soalan itu.

Aku juga sedar, aku sering keseorangan. Langkah yang aku ambil kadang-kadang terlalu panjang dan laju jika hendak dibandingkan dengan mereka yang berada dalam kelompok sekitar hidupku. Semua ini kadang-kadang telah menyebabkan aku tersisih sendiri. Adakah selama ini aku cuba untuk melompat terlalu tinggi dan mendedahkan diri ini pada suatu risiko untuk jatuh dan cedera lebih daripada individu lain? Mengapa aku sering melangkah lebih laju berbanding orang lain? Apa yang sering aku kejar sedangkan 'apa' itu tidak pula aku ketahui...

Aku seolah-olah insan buta yang sangat bernasib baik apabila aku melangkah, aku jarang terjatuh ke dalam gaung, setiap kali aku cuba melompat untuk merentasinya alhamdulillah aku berjaya. Namun ke manakah hala tuju hidup ini? Aku hendak ke mana sebenarnya?

Kadangkala tatkala aku duduk termenung sendirian, satu-satu kesilapan lalu akan muncul kembali dan menyebabkan diri ini berasa malu pada diri sendiri. Di mana boleh aku sorokkan wajah ini andai malu itu datang dari dalam diri? Bagaimana hendak aku pendamkan rasa malu yang wujud di dalam hati? Apakah yang harus aku lakukan tatkala rasa bodoh menjalar kekar di dalam diri? Hendak disesali kesilapan lalu sudah tidak berguna lagi namun rasa itu terus-terusan mengejar rasa hati yang kadang-kadang bisa buat aku menjadi nanar. Adakah itu semua hanyalah bisikan syaitan yang mahu menghasut aku ke lembah kehancuran?

Sedari kecil aku sangat takutkan sesuatu yang dinamakan 'keputusan'. Oleh itu, aku tidak mampu untuk menghadapinya sendiri hatta untuk membuka slip peperiksaan aku sendiri. Semuanya dilakukan oleh bapak. Namun kini, rasa itu semakin kuat. Aku semakin takut untuk menghadapi segalanya. Aku bimbang untuk membuka bicara kerna takut ada hati yang akan terluka. Aku bimbang untuk menyelit bersama-sama mereka yang lain bimbang aku akan mengganggu perjalanan hidup mereka atau mengganggu keselesaan hidup mereka. Akibatnya aku lebih senang menyendiri.. Dengan harapan insan sekeliling tidak akan rasa terganggu atau terbeban akan kehadiran diri? Di mana silapnya diri ini hingga sering melebihkan rasa hati orang lain sedangkan rasa hati diri ini sentiasa dianaktirikan sendiri? Adakah diri dan hati ini tiada hak begini?

Aku sendiri tiada jawapan yang pasti...

Aku keliru-keliru lagi.. Sendiri..

No comments:

Post a Comment