Saturday, March 7, 2009

Teman Hariku

Sejak semalam, hidup ini ditemani oleh nyanyian lagu Palapes, jeritan skuad komander memberikan arahan dan hari ini jeritan skuad komander kedengaran lagi dan terus menemani hariku. Kadangkala aku rasa sangat bersyukur kerana ditempatkan di bilik ini. Melalui bilik ini aku dapat melihat secara terus apa yang berlaku di padang kawad yang terletak bertentangan dengan bilik ini.

Cuma kadangkala ianya menjadi suatu disadvantages. Buat sesiapa yang pernah membaca n3 kontroversi daripada Lea dulu pasti dapat memahami apa maksud yang tersirat.

Suara skuad komander untuk latihan kawad terus bergema. Sedikit sebanyak suara itu menggamit kenangan silam untuk kembali bertandang. Kadangkala ada juga rindu yang terbit di hati tatkala melihat dari jauh gadis serta jejaka berkemeja T gelap dan berseluar loreng. Di bahu mereka pula tergalas sebuah beg loreng lusuh yang tidak dapat aku pastikan beratnya. 8 kilo kah? Entah aku tidak pasti. Melihat mereka beramai-ramai mengerumuni monkey-rack setiap kali aku dalam perjalanan untuk pergi ke kelas, sering mengundang senyum aku untuk singgah diwajah. Tambahan pula ada di antara mereka yang sudah kelihatan basah. Senyum aku tersiat lagi.

Terngiang-ngiang jeritan Staf Zaili dan juga Staf Burn semasa di monkey-rack dulu. "Kau tunggu apa lagi hah Wani, terus sajalah! Kau buat cepat sebelum aku tolak kau nanti. Cepat!!" Itulah antara ayat-ayat sering diperkatakan kepada kami semua. Kata Staf Burn pula, "Kau jangan berhenti lama-lama kat sini. Makin lama kau berdiri dan fikir kat sini memang tak akan lepas. kau kena datang dan terus buat tanpa fikir apa-apa. Mesti akan lepas." Itu pula nasihat daripada Staf Burn. Malangnya kini, semenjak kejadian kemalangan yang telah menyebabkan salah satu tulang dipergelangan tangan aku patah, aku dah tidak mampu lagi untuk melakukan aktiviti ini. Pernah sekali di rumah, aku cuba melakukan aktiviti ini. Baru melepasi satu palang, tanganku berasa sangat sakit. Akibatnya aku terpaksa ber'bandage' selama dua hari. Sungguh menyedihkan. Kadang-kadang aku rindu untuk semua aktiviti itu namun aku tiada lagi mampu. Untuk melakukan front support pun aku dah tak mampu. Tangan kanan aku tidak lagi sekuat dulu. :(

Sungguh, setiap kali aku berborak dengan budak skuad aku sering menyebut yang aku tidak pernah lagi mengenang apatah lagi mengingati kenangan lalu. Yang kekal dalam ingatanku bahawa mereka semua kurang senang akan kehadiranku. Puncanya? Hanya Allah yang tahu kerana aku sendiri tidak pernah tahu apa kesalahan diriku. Rasanya sudah banyak aku berkorban untuk kesejahteraan skuad. Sudah banyak aku korbankan 'hak' aku. Sudah banyak aku pinggirkan rasa hati aku semata-mata untuk menjalankan amanah yang diberikan kepadaku dengan baik. Aku tahu dalam diam ada yang 'berterima kasih' akan setiap pengorbananku namun hati ini benar-benar terguris apabila ada yang menyatakan kesyukuran sebaik sahaja mendengar berita bahawa aku kemalangan. Sungguh aku terguris.

Oleh sebab itulah aku sering cuba untuk melupakan segala kenangan yang lalu. Sedaya upaya aku cuba menjauhi gambar-gambar ahli skuad yang beratus-ratus di dalam PC. Aku sering menafikan bahawa aku adalah sebahagian daripada korang semua. Namun, hakikat dalam hati ini hanya Dia juga yang mengerti. Aku sayangkan korang semua tapi biarlah kan. Tak guna pun. Cuma kadang-kadang bila kenangan menjengah, dia akan turut bersama membawa rindu untuk singgah.

Erm... Kenapa ya aku ceritakan semua ini? Oh, sebab jeritan skuad komander tadi. Nampaknya jeritan skuad komander telah pun berhenti. Mungkin mereka sudah bergerak untuk makan di cook house or dewan makan. Apa pun, semoga berjaya buat semua yang bakal menjalani Upacara Pentauliahan Diraja yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Katanya, pada tahun ini U yang bakal menjadi tuan rumah adalah UTM. Ah! Sekali lagi semua ini bakal melayangkan fikiranku jauh ke selatan tanah air.

Tiba-tiba aku terbayangkan latihan pengkalan sementara yang dilakukan di dalam Hutan Rekreasi UTM. Nyamuk, kala jengking, uggas, semuanya ada. Itulah detik pertama aku merasai pengalaman sebegitu. Pertama kali belajar mengenai Khuf. Pertama kali merasai detik-detik minum air sungai yang mengalir tidak jauh dari pengkalan sementara kami. Pengalaman pertama mengorek kubu. Sebenarnya ianya tidaklah boleh digelar kubu kerana dalamnya cuma kurang sejengkal. Ah, waktu itu kami masih junior. Masih lagi mantah dengan selok-belok kehidupan di dalam hutan. Pertama kali tidur berbumbungkan langit berlantaikan tanah ladang getah yang lembap. Pertama kali tidur kami digerakkan oleh titisan embun jantan di wajah. Sungguh dingin dan menyegarkan. Sungguh indah kenangan itu.

Banyak lagi kenangan yang ada sepanjang 3 tahun aku bersama-sama skuad batch 16. Sesungguhnya korang semua sentiasa dalam kenangan...


Hmm... Merindui sesuatu yang pahit untuk diingati? fikir-fikirkanlah sendiri... :(

1 comment:

  1. lea penah patah tangan x tahu pun..

    lea..jgn dikenang lagi segala yg pahit, lg dikenang lagi perit lea rasa.. biarkan dia pergi n jadikan ia sbg 1 pengajaran yg mematang diri kita..

    tapi bab2 lasak n masuk hutan ni klu dicitekan mmg best, 10 ari 10 mlm pun x bosan.. he..he..he.

    ReplyDelete