Friday, February 12, 2010

Jemputan...

Salam buat semua,

Hari ini bermulalah cuti pertengahan semester bagi mahasiswa dari USM dan mungkin juga dari universiti-universiti yang lain.  Kebetulan juga pada hujung minggu ini juga kaum Cina bakal menyambut Tahun Baru Cina.  Selamat Menyambut Tahun Baru Cina Lea ucapkan buat semua rakan-rakan yang berbangsa Cina.  Tapi ini bukanlah topik utama Lea pada entri kali ini.

Seperti biasa, setiap kali musim cuti bermula banyaklah undangan perkahwinan yang datang.  Dulu Lea hanya melihat mama dan bapak Lea saja yang membawa pulang kad undangan ke majlis perkahwinan anak sahabat-sahabat mereka.  Tetapi kini Lea sendiri tidak terkecuali untuk menerimanya.  Sungguh tidak Lea sangka.  Setiap kali musim cuti bermula, setiap itu juga Lea akan menerima kad jemputan. 

Jemputan perkahwinan pertama yang Lea terima adalah daripada sahabat baik Lea sewaktu Lea menuntut di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) dulu.  Wan Nur Huda namanya yang kini sudah bergelar ibu kepada anak lelakinya yang sangat comel - Hariz.  Malangnya Lea tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan Huda.  Maklumlah Lea sendiri belum bekerja dan tiada kenderaan sendiri. 

Tidak lama kemudian, disusuli pula dengan jemputan perkahwinan oleh rakan-rakan Lea sewaktu Lea aktif dalam persatuan kolej di UTM dulu.  Syukri (Syuk), Farhan (Paan) dan Kak Zu.  Rakan-rakan kelas Lea juga tidak ketinggalan.  Baru-baru ini Lea sempat menghadiri majlis perkahwinan Dzulkarnain Baharuddin.  Dzul juga merupakan sahabat rapat Lea sewaktu tiga tahun Lea bergelar pelajar Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (FPPSM) sewaktu di UTM dulu.  Itu pun kerana mama dan bapak turut sama ke majlis tersebut.  Jadi Lea tidak perlu bimbang akan isu 'bagaimana' hendak ke sana. 

Pada 6 Februari yang lalu pula, berkongsi tarikh dengan hari lahir Lea seorang lagi rakan sekelas Lea sewaktu di UTM dulu melangsungkan majlis perkahwinan iaitu Suziani.  Tahniah diucapkan.  Cuma agak terkilan kerana Lea tidak dapat hadir juga walaupun majlis itu hanya berlangsung di Kuala Kedah.  Tidak terlalu jauh dari Penang ini.  Namun disebabkan pada keesokkan harinya Lea terpaksa menghadiri kelas ganti maka terpaksa dipendam hasrat di hati.

Dan pada 14 Februari ini, satu lagi jemputan perkahwinan telah Lea terima iaitu dari rakan sekelas Lea sewaktu Lea di belajar di SMK Tun Saban, Pengkalan Hulu, Perak.  Lea sempat sekelas dengan Shazly ini selama 2 tahun iaitu sewaktu tingkatan 3 dan tingkatan 4.  Kemudian Shazly berpindah ke Slim River kerana mengikut keluarganya ke sana. 

 

Selamat Pengantin Baru
Semoga Berbahagia selalu hendaknya...

Tidak ketinggalan juga Makcik Lea yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya pada Disember yang lalu.  Semoga acik dan juga pak cik Nazirul berbahagia selalu hendaknya....

Rasanya cukuplah setakat ini dahulu coretan Lea buat hari ini.  Lea mengucapkan semoga berbahagia selalu dan semoga diredhai Allah sentiasa buat sahabat-sahabat Lea bersama pasangan masing-masing.  Insya-Allah. Amin :D

p/s: tiba-tiba jek Lea berasa macam "ek? dah besar rupanya aku..." wahahahaha......

No comments:

Post a Comment