Tuesday, November 17, 2009

\++ Pulang kembali ++/

Hari ini merupakan hari ketiga Lea merehatkan diri di rumah sempena cuti pertengahan semester.  Sungguh.  Otak Lea yang seringkali saja serabut ketika berada di USM kini sudah kembali terurus.  "Gunakan jari pun boleh."  Itulah ibaratnya otak Lea ketika ini.  Sungguh tenang dan bebas daripada peristiwa-peristiwa yang kurang menyenangkan yang berlaku sepanjang minggu peperiksaan yang lalu.

Biarlah apa yang sudah berlaku itu.  Biarkan saja ia pergi.  Tiada gunanya pun andai Lea mengenangkan semua itu.  Apa yang penting kini adalah masa depan.  Itu yang patut Lea utamakan.  Perkara yang berlalu itu Lea harus jadikan pengajaran untuk persediaan di masa hadapan.

Kini Lea mula memikirkan kembali hala tuju Lea dalam bidang penulisan.  Sebelum ini Lea mendapat teguran daripada AK yang Lea anggap sebagai mentor dan guru Lea dalam bidang penulisan ini.  Katanya Lea kelihatan agak kurang serius dengan penulisan Lea.  Katanya lagi, untuk berjaya dalam bidang ini, budaya kerap memberikan alasan haruslah dikikis.

Maka Lea terfikir bilakah waktu yang terbaik untuk Lea kembali menulis dengan bersungguh-sungguh?  Ternyata, dalam bidang ini Lea ada satu impian iaitu menerbitkan novel Air Mata Hati.  Mungkin ada di antara pembaca blog ini juga menantikan apakah status terkini novel itu.  Adakah ianya bakal terbengkalai begitu sahaja? 

Sejujurnya Lea sendiri juga sedikit ngeri bila memikirkan kemungkinan yang satu itu.  Insyaallah.  Lea akan cuba sedaya upaya Lea untuk meneruskan novel itu.  Lea tidak akan menghampakan para pembaca Lea yang telah lama menantikan kemunculan novel itu.  Doakan Lea supaya dapat menyiapkan novel tersebut ya.

Blog Kalam Coretan juga sudah lama tiada isi baru walaupun dari segi dekorasinya sudah mengalami perubahan.  Insyaallah.  Lea akan cuba untuk pulang kembali ke zaman aktif Lea dalam menulis cerita.  Sungguhpun kualiti cerita hasil tulisan Lea itu tidaklah seberapa.  Hanya sekadar sesuai untuk dijadikan bahan bacaan santai.  Untuk menulis cerita dalam versi bahasa melayu tinggi rasanya Lea belum mampu hingga ke tahap itu.  Malah terlalu jauh untuk Lea capai.

Apapun, Lea mengharapkan agar kepulangan Lea pada kali ini dapat memberikan kesan yang lebih signifikan pada bidang penulisan ini.  Semoga semangat Lea terus kuat untuk meneruskan langkah dalam bidang ini.  Insyaallah.

No comments:

Post a Comment