Wednesday, October 14, 2009

Mendung Hidupku


Salam buat semua, rasanya sudah terlalu lama Lea meninggalkan aktiviti berblog di sini. Hurm... entahlah! Semester ini dirasakan bagai begitu mencabar. Sehinggakan ada ketikanya Lea bagai merasa begitu terbeban dan mahu meninggalkan semua ini sekerat jalan. Lea sedar ini adalah kata-kata insan yang lemah semangat dan bagai putus harapan. Namun Lea juga insan biasa. Insan yang lemah. Insan yang hanya mampu berdoa dan menyangkutkan harapan supaya awan mendung ini terus berlalu. Lea berharap agar semangat yang semakin menipis ini akan kembali pulih seperti sedia kala.

Kisah pembentangan semalam benar-benar memberikan impak yang besar pada semangat Lea dan cukup untuk membuatkan Lea berasa seperti putus asa. Bukan Lea cuba meletakkan kelemahan kumpulan kami kepada orang lain namun penilaian pensyarah malam semalam benar-benar tidak adil bagi kami. Sikap pensyarah yang seperti berat sebelah (hanya suka kepada pelajar-pelajar antarabangsa yang petah bercakap kosong serta mereka-mereka yang mempunyai pengalaman 'hebat' dalam industri) benar-benar membuatkan Lea dan rakan-rakan lain menjadi sangat kecewa.

Jika dibandingkan antara kumpulan-kumpulan yang membuat pembentangan, ternyata kumpulan kami agak terkebelakang kerana majoriti daripada kami tidak mempunya sebarang pengetahuan asas mengenai industri (terutamanya industri pembuatan). Kumpulan kami hanya terdiri daripada seorang tutor, dua orang 'fresh graduates', seorang yang berkerja dalam bidang jahitan dan seorang lagi berkerja dalam bidang R&D.

Malah yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah sikap seorang 'hamba Allah' ini yang seperti enggan memberikan kerjasama. Sudahlah tidak mahu memberikan kerjasama, setiap hasil kerja ahli kumpulan yang lain diperlekehkannya. Bila dalam sesi soal jawab, dia bagai mengelak diri. Langsung tidak membantu ahli kumpulan yang lain sedangkan kajian kes yang dibuat itu adalah tempat syarikat si 'hamba Allah' ini berkerja. Akibatnya, kami terpaksa memberikan jawapan 'palsu' di dalam kelas.

Subjek-subjek pada semester ini sangat-sangat mendukacitakan. Lea benci semester ini. Walaupun hanya tinggal satu sem sahaja lagi untuk menghadiri kelas, Lea bagai sudah tidak larat lagi. Lea sedar Lea harus cepat pulih dari rasa yang menjatuhkan diri sendiri ini tetapi Lea juga perlukan masa. Masa yang Lea tahu ianya semakin suntuk. Lea ingin menangis tetapi air mata ini bagai tidak mahu mengalir. Bencinya bila diri rasa begini.

Ya Allah,
Aku bermohon kepada-Mu, berilah hamba-Mu ini kekuatan untuk terus bangkit dari kejatuhan ini,
Ya Allah,
Aku bermohon kepada-Mu, Kau permudahkanlah urusan hamba-Mu ini,
Ya Allah,
Aku merayu kepada-Mu, Kau kuatkanlah hatiku dan permudahkanlah ia untuk memahami setiap ilmu yang aku pelajari,
Ya Allah, Ya Tuhanku,
Hanya kepada-Mu tempat aku mengadu dan tempat aku merayu,
Hanya kepada-Mu tempat aku berserah,
Aku mohon kepadamu supaya Kau perkenankanlah doaku ini,
Sesungguhnya hanya Engkau Tuhan sekelian alam, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Dan sesungguhnya jua Engkaulah yang Maha Pemberi Kurnia.

Amin... Amin... Amin.. Ya Rabbal 'alamin....

p/s: sila abaikan susunan ayat yang berterabut akibat kecelaruan hati yang melanda diri...



1 comment:

  1. wani sabarlah banyak-banyak.
    makin hebat dugaan, sebenarnya makin kita kena tunjukkan kekuatan diri.
    dugaan mendorong kita jadi lebih kuat. fikirkan begitu sahaja.

    ReplyDelete